Buah Katak Puru / Nam Nam

Buah katak puru? Kenapa namanya begitu? Begitulah gelaran yang dipanggil kepada buah nam-nam kerana mempunyai kulit luaran yang kurang menarik dan menggerutu.

Walaupun nama dan bentuk luarannya tidak secantik buah-buahan yang lain, namun bagi mereka yang biasa merasai buah ini tentu membuatkan air liur terasa kecur.

Buah ini memang sedap dicicah dengan sambal kicap, garam atau kuah rojak. Ada juga yang membuat sambal ikan dengan menumbuk ikan dan cili bersama-sama buah katak puru.

Memang sedap jika dimakan bersama nasi yang masih panas. Malah, bukan itu sahaja, buah yang kaya dengan vitamin C ini juga boleh dijadikan jus.

Buah nam nam yang bersaiz di antara lima hingga enam sentimeter (cm) ini mempunyai rasa masam kelat ketika muda dan akan berubah menjadi masam manis apabila masak.

Bijinya pula berbentuk leper. Selain dimakan segar, daun dan buah nam nam juga mempunyai khasiat perubatan.

Kebanyakan orang-orang terdahulu mempercayai dengan memakan buah dan pucuk pokok ini dapat mengubati penyakit darah tinggi dan kencing manis.

Ada juga yang menjadikannya ramuan dalam ubat bagi merawat batu karang. Selain itu, daunnya juga boleh dikeringkan dan dijadikan seperti minuman teh.

Pokok nam nam atau nama saintifiknya Cynometra Cauliflora merupakan tumbuhan unik kerana berbunga dan berbuah di batang.

Pokok yang dikatakan berasal dari Borneo ini mempunyai ketinggian di antara tiga hingga enam meter (m) sahaja.

Pokok ini masih lagi ditemui di Semenanjung Malaysia terutama di kawasan Utara dan Pantai Timur. Pokoknya mudah tumbuh melalui kaedah tanaman biji ataupun tut.

Ia memerlukan kawasan yang bersaliran baik dengan sinaran matahari yang cukup untuk tumbuh subur