Home » » Cara Mengatasi Cerewet

Cara Mengatasi Cerewet

Sikap cerewet sebenarnya bukanlah perkara baru. Lebih-lebih lagi antaranya yang suka berlagak diva atau perasan dirinya bagus daripada orang lain. Perangai cerewet tak tentu fasal ini boleh membuat­kan orang meluat.

Biasanya, orang cerewet tidak akan menyedari dirinya cerewet, namun orang di sekitar yang biasanya menjadi korban tempias kata-kata sinis dan bebelan yang tiada henti itu.

Cerewet sebenarnya adalah satu bentuk kemarahan yang dilontarkan dengan cara perlakuan atau percakapan dan dilakukan seseorang kepada orang lain. Selain itu, ia juga boleh diungkapkan sebagai rasa tidak puas hati terhadap sesuatu kerana ia tidak mencapai tujuan dan kepuasan dirinya. Keinginan yang tidak dipenuhi juga menjadi faktor utama sikap ini.

Menjadi seorang yang cerewet ini ada baik dan ada buruknya. Yang baik akan terkena ke atas tuan empunya badan dan yang buruknya pergi kepada orang sekeliling. Namun keadaan ini bergantung. Sekiranya orang di sekeliling juga jenis cerewet ataupun tak kisah, pastilah dia tak akan rasa menyusahkan. Tapi jika berdepan dengan individu berbeza yang perwatakan lebih rileks, si cerewet tadi akan dilihat menjengkelkan.

Dikatakan, sikap cerewet yang timbul mungkin kerana seseorang itu menginginkan sesuatu dalam keadaan sempurna sedangkan manusia dicipta dengan serba kekurangan.


Siapa lebih cerewet?

Jika disebut pasal cerewet, sinonimnya akan dikaitkan dengan wanita. Kebiasaan yang selalu kita dengar, wanita dikatakan cerewet berkaitan perihal kecantikan dan penampilan diri, kebersihan, kekemasan rumah dan termasuklah pemilihan keperluan seperti pakaian dan barang keperluan. Tapi bagaimana pula lelaki?

Jangan pura-pura merasakan diri seorang yang sederhana, wahai jejaka! Sebenarnya, ramai juga lelaki perwatakan cerewet. Tetapi mereka jarang menonjolkan sikap ini kerana ia hanya boleh dilihat dalam situasi tertentu. Contohnya, cerewet dalam hal berkaitan kenderaan adalah biasa.

Namun lebih menarik apabila ada sebahagian daripada mereka lebih cerewet daripada wanita. Isu seterika baju hingga perlu timbulkan garisan sering disuarakan si isteri, isu masakan kurang sedap juga menjadi cabaran bagi mereka yang sudah berkeluarga.

Bukan orang dewasa saja, kanak-kanak juga tidak terkecuali daripada sikap ini. Ada berpendapat, si kecil hari ini lebih cerewet daripada orang dewasa dalam memilih makanan? Walaupun si ibu menyediakan masakan yang sedap, si kecil akan menolak ke tepi dan tetap berkeras enggan memakannya. Jika menjamah pun hanya sedikit manakala selebihnya dibuang begitu saja.

Namun dalam sesetengah hal, perlu ada sikap ini dalam diri. Sebagai pengguna, kita harus cerewet dalam membeli dan pentingkan kualiti supaya tidak sewenang-wenangnya ditindas peniaga. Sikap seperti ini yang banyak dipraktikkan masyarakat Eropah, sekali gus menjadikan mereka sebagai pendesak yang kuat untuk mengelakkan kenaikan harga barang pada musim perayaan contohnya.


Apa perlu buat?

Ada kalanya untuk menghadapi teman yang cerewet, suka mengatur atau mengarah itu ini boleh buatkan kita kesal dan meluat. Daripada marah dan bermasam muka, kajian dilakukan Kolej Baruch, City University of New York menyarankan cara terbaik untuk menghadapi orang yang menjengkelkan adalah dengan mendiamkan diri. Alihkan pandangan dengan ubah topik lain atau anda lakukan aktiviti lain seperti menonton televisyen dan sebagainya.

Dikatakan, kondisi mental seseorang akan lebih sihat jika dia mendiam­kan diri atau berusaha untuk menghentikan pembicaraan dengan mendiamkan diri daripada terus berbicara dan melayan kerenah orang yang membuatkannya berasa jengkel. Selain itu, difahamkan, si cerewet selalunya cenderung bercakap laju tetapi lambat bertindak.

Sejak kecil hingga dewasa kita selalu diajar orang tua, guru dan motivator untuk sentiasa berusaha jadi pemenang, namun dalam situasi berdepan dengan si cerewet, tak ada salahnya untuk mengalah. Jika si dia membebel tak puas hati itu ini, seeloknya ambil tindakan yang boleh redakan ketidakpuasan hatinya. Mengalah tak bermaksud anda kalah. Berjaya membuat keadaan kembali normal tanpa ada pertengkaran atau pergaduhan, itu menjadikan anda seorang pemenang tanpa disedari.


Cuba elak

Semua orang mempunyai sikap cerewet terhadap sesetengah perkara. Jika ia bersebab dan munasabah seperti perihal makanan dan kebersihan, tak akan ada yang melenting dan mempersoalkannya. Namun elakkan diri untuk terjebak dengan sikap cerewet yang tak berasas contohnya cepat bengang sekiranya rakan sekeliling berborak panjang atau mudah menyinga sekiranya makanan dipesan lambat siap.

Apabila banyak bergaul dengan orang sekeliling maka kita akan bertemu dengan pelbagai kerenah manusia. Ada yang nampak baik, tapi bila ada hal sensitif akan terus melenting, tak kurang juga yang cerewet. Pendek kata sebut pasal sikap, ada pelbagai sikap positif dan negatif dan cerewet banyak dikaitkan dengan negatif.

Umpamanya, jika tidak berkenan di mata semua benda akan dikritik. Pada pandangan penulis, memang tidak salah menegur untuk kebaikan, namun janganlah semuanya dilihat salah. Sama juga dalam hal pemberian. Apabila pemberian orang lain tidak berkenan di hati maka dia akan mengata itu ini dan bukannya mahu bersyukur atau berterima kasih kepada orang yang sudi memberi.

Sikap seperti ini boleh dikategorikan sebagai melampau dan kita perlu elakkan supaya tidak sebati dalam diri. Jika kita benci melihat orang cerewet terhadap sesuatu tak relevan dan remeh, janganlah kita pula bersikap sedemikian jika tidak mahu dipandang jelek.

Kadang-kadang apabila diri terlalu cerewet kita akan terpinggir. Orang sekeliling akan menjauhkan diri. Oleh itu dalam menjaga persahabatan atau perhubungan dengan keluarga atau masyarakat, janganlah terlalu menunjukkan kita ini begitu dominan.

tags:menangani mertua cerewet,ibu mertua cerewet,mak mertua cerewet,kenapa wanita cerewet,suami,bos,menghadapi suami yang cerewet,suami cerewet makan,penyakit cerewet,pasangan cerewet,

1 ulasan:

alizal berkata...

Kesian budak cerewet makan ni... mudah demam, selsema dan batuk sebab gizi dan nutrisi dalam badan diorang tak seimbang....

Catat Ulasan