Cara Bank Buat Duit

Pernahkah anda terfikirkan selama ini telah diperbodohkan oleh bank? atau anda tak pernah berurusan dengan bank?

Zaman ini tak ada orang boleh terlepas dari berurusan dengan bank kecuali dia ‘kais pagi makan pagi dan kais petang makan petang’.

Orang macam tu tak perlukan bank untuk simpan duit. Kalau perlupun mungkin sebagai tempat berteduh di kala malam apabila mencari pot untuk tidur.

Secara umumnya kita semua tak dapat lari dari bank. Ramai yang rasa bank banyak membantu kehidupan kita dan ada ramai juga yang tak rasa apa-apa sebab main ikut saja apa yang orang lain buat.

Mungkin anda tak pernah terasa yang bank telah memperbodohkan anda selama ini. Barangkali selepas membaca tulisan ini, anda akan rasa betapa bank mempergunakan orang yang diperbodohkan untuk kaut keuntungan.

Anda simpan duit dalam bank

Bank tak wujud kalau tak ada orang simpan duit dengannya. Melalui duit yang kita simpan itulah dia gunakan pula untuk kasi orang lain pinjam.

Dalam ertikata sebenar, kita telah memberikan pinjaman pada wang sebagai modal untuk dia berniaga. Biasanya modal yang kita keluarkan sudah tentu ada pulangannya.

Katakan pulangan yang anda dapat dengan meletakkan RM50 ribu adalah 5% setahun dengan kadar tetap berdasarkan jumlah pokok RM50 ribu yang telah diberikan. Andaikan juga anda letakkan duit tersebut dalam tempoh selama 5 tahun.

Bank akan membayar balik pada anda sebanyak RM50 ribu + 5% x 50 ribu x 5 tahun = RM62,500. Anda mendapat keuntungan sebanyak RM12,500 dalam tempoh lima tahun.

Jika bank membuat pembayaran secara bulanan, keuntungan yang anda akan terima adalah berjumlah lebih kurang RM208 sebulan.

Ok! itu semua kiraan mudah dan diharap anda faham.

Sekarang andaikan pula anda saban bulan akan keluarkan wang yang disimpan itu sebanyak RM833 sebulan.

Bulan berganti bulan, tahun berganti tahun sehingga di bulan terakhir dalam tempoh 5 tahun itu baki yang ada dalam simpanan anda hanyalah sejumlah RM834 sahaja.

Walaupun jumlah hanya tinggal sebanyak itu, bank masih tetap memberikan keuntungan sebanyak RM208 pada bulan yang terakhir tersebut!!!

Tidakkah itu sesuatu yang cukup menguntungkan?

Apakah anda rasa ada bank di negara kita atau di mana-mana sahaja di dunia ini yang akan melakukan perkara sebegitu untuk anda?

Saya dengar jawapan anda!, “hanya taukeh bank yang bodoh sahaja yang akan berbuat begitu!”…betul tak?

Memang betul! tak ada bank yang sebodoh itu. Jika anda masukkan wang untuk mendapat ganjaran, syaratnya adalah wang itu mesti kekal dalam jumlah yang sama untuk mendapat hasil pulangan seperti yang dikira di atas.

Bank beri duit pada anda

Sekarang mari kita kira pula senario terbalik di mana bank telah meminjamkan pada anda sejumlah RM50 ribu untuk anda membeli sebuah kereta baru.

Untuk memudahkan pengiraan, kita andaikan keuntungan yang sama dikenakan oleh bank dalam tempoh yang sama berdasarkan jumlah pokok iaitu RM50 ribu.

Apa yang anda perlu lakukan adalah membuat bayaran sebanyak RM833 sebulan ditambah dengan keuntungan sebanyak RM208 sebulan (bersamaan RM1,041 sebulan).

Bulan demi bulan, tahun demi tahun anda bayar pada bank sehinggalah jumlah duit kepunyaan bank yang diberikan pada anda berbaki sebanyak RM834.

Dan pada bulan terakhir itu juga anda tidak ada pilihan selain dari tetap membayar RM1,041 di mana keuntungan masih tetap diberikan dalam jumlah RM208.

Ok! sekarang agaknya ada tak orang yang bodoh yang akan melakukan perkara sebegitu pada bank?

Jawapannya sudah tentu ada…ya anda dan juga saya dan kebanyakan mereka yang meminjam duit bank untuk membeli kereta atau membuat pinjaman untuk perkara lain dengan terma dan syarat yang sama.

Tidak anda rasa itu kerja bodoh?

Namun begitu, kita tetap amalkannya kerana bank memerlukan orang-orang yang bodoh sebegitu untuk mengaut keuntungan yang besar.

Tak perlu dinyatakan di sini tekanan-tekanan lain seperti cagaran, kereta atau barangan kena tarik dan dilellong dan lain-lain lagi….

Mungkin sekarang anda sedar kenapa orang seperti Teh Heong Piaw, pemilik Public Bank kaya raya berbillion-billion dan pendapatannya adalah RM 1 juta sebulan!

Nah! memang bank telah memperbodohkan kita…!

oleh mohd shubhi

Cara Mengatasi Cerewet

Sikap cerewet sebenarnya bukanlah perkara baru. Lebih-lebih lagi antaranya yang suka berlagak diva atau perasan dirinya bagus daripada orang lain. Perangai cerewet tak tentu fasal ini boleh membuat­kan orang meluat.

Biasanya, orang cerewet tidak akan menyedari dirinya cerewet, namun orang di sekitar yang biasanya menjadi korban tempias kata-kata sinis dan bebelan yang tiada henti itu.

Cerewet sebenarnya adalah satu bentuk kemarahan yang dilontarkan dengan cara perlakuan atau percakapan dan dilakukan seseorang kepada orang lain. Selain itu, ia juga boleh diungkapkan sebagai rasa tidak puas hati terhadap sesuatu kerana ia tidak mencapai tujuan dan kepuasan dirinya. Keinginan yang tidak dipenuhi juga menjadi faktor utama sikap ini.

Menjadi seorang yang cerewet ini ada baik dan ada buruknya. Yang baik akan terkena ke atas tuan empunya badan dan yang buruknya pergi kepada orang sekeliling. Namun keadaan ini bergantung. Sekiranya orang di sekeliling juga jenis cerewet ataupun tak kisah, pastilah dia tak akan rasa menyusahkan. Tapi jika berdepan dengan individu berbeza yang perwatakan lebih rileks, si cerewet tadi akan dilihat menjengkelkan.

Dikatakan, sikap cerewet yang timbul mungkin kerana seseorang itu menginginkan sesuatu dalam keadaan sempurna sedangkan manusia dicipta dengan serba kekurangan.


Siapa lebih cerewet?

Jika disebut pasal cerewet, sinonimnya akan dikaitkan dengan wanita. Kebiasaan yang selalu kita dengar, wanita dikatakan cerewet berkaitan perihal kecantikan dan penampilan diri, kebersihan, kekemasan rumah dan termasuklah pemilihan keperluan seperti pakaian dan barang keperluan. Tapi bagaimana pula lelaki?

Jangan pura-pura merasakan diri seorang yang sederhana, wahai jejaka! Sebenarnya, ramai juga lelaki perwatakan cerewet. Tetapi mereka jarang menonjolkan sikap ini kerana ia hanya boleh dilihat dalam situasi tertentu. Contohnya, cerewet dalam hal berkaitan kenderaan adalah biasa.

Namun lebih menarik apabila ada sebahagian daripada mereka lebih cerewet daripada wanita. Isu seterika baju hingga perlu timbulkan garisan sering disuarakan si isteri, isu masakan kurang sedap juga menjadi cabaran bagi mereka yang sudah berkeluarga.

Bukan orang dewasa saja, kanak-kanak juga tidak terkecuali daripada sikap ini. Ada berpendapat, si kecil hari ini lebih cerewet daripada orang dewasa dalam memilih makanan? Walaupun si ibu menyediakan masakan yang sedap, si kecil akan menolak ke tepi dan tetap berkeras enggan memakannya. Jika menjamah pun hanya sedikit manakala selebihnya dibuang begitu saja.

Namun dalam sesetengah hal, perlu ada sikap ini dalam diri. Sebagai pengguna, kita harus cerewet dalam membeli dan pentingkan kualiti supaya tidak sewenang-wenangnya ditindas peniaga. Sikap seperti ini yang banyak dipraktikkan masyarakat Eropah, sekali gus menjadikan mereka sebagai pendesak yang kuat untuk mengelakkan kenaikan harga barang pada musim perayaan contohnya.


Apa perlu buat?

Ada kalanya untuk menghadapi teman yang cerewet, suka mengatur atau mengarah itu ini boleh buatkan kita kesal dan meluat. Daripada marah dan bermasam muka, kajian dilakukan Kolej Baruch, City University of New York menyarankan cara terbaik untuk menghadapi orang yang menjengkelkan adalah dengan mendiamkan diri. Alihkan pandangan dengan ubah topik lain atau anda lakukan aktiviti lain seperti menonton televisyen dan sebagainya.

Dikatakan, kondisi mental seseorang akan lebih sihat jika dia mendiam­kan diri atau berusaha untuk menghentikan pembicaraan dengan mendiamkan diri daripada terus berbicara dan melayan kerenah orang yang membuatkannya berasa jengkel. Selain itu, difahamkan, si cerewet selalunya cenderung bercakap laju tetapi lambat bertindak.

Sejak kecil hingga dewasa kita selalu diajar orang tua, guru dan motivator untuk sentiasa berusaha jadi pemenang, namun dalam situasi berdepan dengan si cerewet, tak ada salahnya untuk mengalah. Jika si dia membebel tak puas hati itu ini, seeloknya ambil tindakan yang boleh redakan ketidakpuasan hatinya. Mengalah tak bermaksud anda kalah. Berjaya membuat keadaan kembali normal tanpa ada pertengkaran atau pergaduhan, itu menjadikan anda seorang pemenang tanpa disedari.


Cuba elak

Semua orang mempunyai sikap cerewet terhadap sesetengah perkara. Jika ia bersebab dan munasabah seperti perihal makanan dan kebersihan, tak akan ada yang melenting dan mempersoalkannya. Namun elakkan diri untuk terjebak dengan sikap cerewet yang tak berasas contohnya cepat bengang sekiranya rakan sekeliling berborak panjang atau mudah menyinga sekiranya makanan dipesan lambat siap.

Apabila banyak bergaul dengan orang sekeliling maka kita akan bertemu dengan pelbagai kerenah manusia. Ada yang nampak baik, tapi bila ada hal sensitif akan terus melenting, tak kurang juga yang cerewet. Pendek kata sebut pasal sikap, ada pelbagai sikap positif dan negatif dan cerewet banyak dikaitkan dengan negatif.

Umpamanya, jika tidak berkenan di mata semua benda akan dikritik. Pada pandangan penulis, memang tidak salah menegur untuk kebaikan, namun janganlah semuanya dilihat salah. Sama juga dalam hal pemberian. Apabila pemberian orang lain tidak berkenan di hati maka dia akan mengata itu ini dan bukannya mahu bersyukur atau berterima kasih kepada orang yang sudi memberi.

Sikap seperti ini boleh dikategorikan sebagai melampau dan kita perlu elakkan supaya tidak sebati dalam diri. Jika kita benci melihat orang cerewet terhadap sesuatu tak relevan dan remeh, janganlah kita pula bersikap sedemikian jika tidak mahu dipandang jelek.

Kadang-kadang apabila diri terlalu cerewet kita akan terpinggir. Orang sekeliling akan menjauhkan diri. Oleh itu dalam menjaga persahabatan atau perhubungan dengan keluarga atau masyarakat, janganlah terlalu menunjukkan kita ini begitu dominan.

tags:menangani mertua cerewet,ibu mertua cerewet,mak mertua cerewet,kenapa wanita cerewet,suami,bos,menghadapi suami yang cerewet,suami cerewet makan,penyakit cerewet,pasangan cerewet,

Antisosial pada pagi Syawal

Anti sosial lebih banyak dikaitkan dengan remaja yang lebih senang bersendirian dan berinteraksi bersama gajet seperti telefon bimbit dan komputer riba berbanding masyarakat sekeliling.

Mereka yang termasuk dalam golongan antisosial akan rasa sukar untuk berkomunikasi dengan dunia realiti dan kelihatan kaku terutama apabila diajak bersembang dengan saudara-mara yang bertandang ke rumah.

Namun apabila berinteraksi di dunia maya, mereka boleh dilabel antara golongan yang hebat dalam mengeluarkan hujah dan fakta tapi apabila di dunia sebenar, mulut bagaikan terkunci rapat dan tangan aktif menekan punat telefon bimbit.

Malah tidak hairanlah meskipun pada zaman kecanggihan teknologi, ada remaja yang lebih ‘rela’ memandang skrin telefon bimbit lebih lama daripada memandang wajah saudara-mara. Situasi ini membuatkan semangat beraya dan ikatan persaudaraan itu tidak dapat dipupuk semasa Aidilfitri.


Sikap antisosial ini jelas kelihatan ketika sambutan hari raya di mana ketika tetamu bertandang ke rumah tetapi ‘tuan rumah’ pula ligat muat naik gambar, menukar status dan menukar profil gambar di Instagram yang mudah diakses menerusi telefon bimbit sehingga boleh menyebabkan tetamu berkecil hati.


Apabila si antisosial tidak membuang sikap buruk mereka itu, akan timbul kesan seperti kurangnya keharmonian dalam kekeluargaan dan kemampuan dalam bersosial di dunia luar. Bahkan mereka merasakan berinteraksi di laman sosial lebih menyeronokkan dan mudah berbanding secara bersemuka.

Kemodenan teknologi yang pelbagai membuatkan ramai remaja bersikap antisosial. Mereka dilabelkan antara golongan yang cenderung untuk bersikap tidak ambil pusing ­dengan keadaan sekeliling dan lebih gemar mengutamakan gajet kerana berupaya meneroka apa saja di Internet dengan istilah ‘dunia tanpa sempadan’.

Tidak dapat disangkal lagi, laman sosial membantu dan mempermudahkan penggunanya untuk berinteraksi dengan orang lain tidak kira sahabat, keluarga, saudara-mara atau mereka yang tidak dikenali.

Namun pengaruhnya terhadap remaja menyebabkan mereka tidak menghiraukan ahli keluarga tanpa mengira waktu walaupun pada musim perayaan yang sepatutnya diluangkan bersama sanak saudara.

Dua laman sosial iaitu Facebook dan Twitter paling mendapat tempat di hati pengguna Internet khususnya remaja dengan statistik paling ramai. Kedua-duanya memiliki jutaan pengguna dan makin bertambah setiap hari. Ini antara sebab yang membuatkan anak muda alpa dan tidak peka dengan keadaan sekeliling kerana terlalu khusyuk mengakses laman sosial terbabit.

Sikap antisosial yang suka menyendiri umum­nya berpunca daripada sikap ketagih teknologi yang berkait rapat dengan gajet.

Apabila individu terjebak dengan virus antisosial ini, ia secara tidak langsung membuatkan dia dipulaukan keluarga, rakan dan masyarakat sekeliling kerana kurang berkomunikasi dengan mereka. Fenomena ini tidak terkecuali berlaku pada pagi Syawal.

Difahamkan, sebab utama sikap antisosial ini wujud dalam diri seseorang kerana kurang bijak membahagiakan masa di dunia maya dan realiti.


Adab menerima tetamu

Pelbagai adab yang perlu anda ketahui ketika beraya di rumah rakan ketika Aidilfitri. Anda mungkin terlupa adab sebagai tetamu dan adab melayan tetamu yang datang ke rumah.


1. Memberikan layanan yang baik

Seharusnya tetamu dilayan dengan baik dan tanya khabar tetamu yang datang ke rumah ketika pagi 1 Syawal. Buka pintu rumah jika terdengar ada tetamu yang memberi salam. Jangan malas untuk membuka pintu atau melengah-lengahkan masa untuk menjemput tetamu masuk kerana mereka akan menganggap anda tidak suka kedatangannya.


2. Menyediakan jamuan yang termampu

Orang-orang tua pada zaman dulu memang sangat suka menerima tetamu dan melayan mereka dengan sehabis baik disertakan dengan hidangan kelas pertama. Namun ia mengikut kemampuan tuan rumah untuk menghidangkan jamuan kepada tetamu yang datang. Jika tidak mampu, memadai dengan makanan yang biasa saja. Kalau hanya terdapat air ‘bujang’ atau biskut kering saja, tidak salah untuk menjamu mereka.


3. Menunjukkan wajah yang manis

Senyum ketika menerima tetamu tidak kira siapa juga mereka itu pada anda. Ingat jangan sesekali membuat muka yang tidak senonoh atau tidak disenangi di hadapan tetamu kerana mereka akan terasa hati dengan perlakuan anda. Walaupun ketika itu anda dalam keadaan penat agar tidak timbul fitnah di belakang anda nanti.


Apa pula peranan kita sebagai tetamu?

Adab sebagai tetamu harus dihayati agar hubungan yang ada kekal harmoni. Namun sebagai remaja, perlu ingat juga adab sebagai tetamu agar tuan rumah tidak jelek dengan kerenah yang anda tampilkan. Sedangkan Islam menggesa umatnya agar saling bermaafan pada Hari Raya dan tidak lupa dengan adabnya.


1. Mengunjungi rumah kawan pada waktu yang sesuai.

Elakkan pergi beraya ke rumah kawan pada waktu malam kerana berkemungkinan tuan rumah itu sedang berehat selepas penat melayan tetamu pada siang hari. Tetamu juga diingatkan agar tidak duduk dan bersembang dengan tuan rumah terlalu lama sehingga mengganggu urusan peribadi tuan rumah yang lain.


2. Berilah salam sebelum masuk ke rumah.

Adab sebagai seorang Islam sebelum masuk ke rumah orang lain haruslah memberikan salam dan selepas salam dijawab oleh tuan rumah, baru tetamu boleh masuk ke rumah tetapi jika salam tidak disambut, tetamu mesti menunggu dengan sabar di luar rumah sehingga tuan rumah keluar dan menjemput masuk.


3. Elakkan mata daripada meninjau keadaan di dalam rumah.

Perkara ini yang sering kali tetamu amalkan di mana suka melihat barang-barang atau almari kabinet tuan rumah terutama jenama yang digunakan. Sikap ini tidak harus anda lakukan semasa di rumah orang lain. Namun jika tuan rumah baru membeli barang baru sebagai perhiasan di rumah dan anda teringin melihatnya, minta izin dulu daripada tuan rumah sehingga dia membenarkannya.


4. Memuji makanan yang disediakan.

Harus diingatkan agar anda bermanis mulut ketika menjamah makanan yang tuan rumah sediakan. Cuba ikhlas dalam kata-kata pujian itu tetapi jika makanan yang dihidangkan tidak memenuhi cita rasa anda, jangan sesekali memberikan komen negatif yang tidak enak didengar.


5. Tidak tunggu di hadapan pintu rumah.

Selepas memberi salam anda berdiri dan tunggu tuan rumah membuka pintu di tepi dinding yang berhampiran dengan pintu rumah. Ini bertujuan agar tuan rumah tidak malu jika pakaian yang dipakainya terdedah atau menampakkan aurat. Tetamu juga harus menunggu dengan sabar dan memberi masa kepada tuan rumah untuk menjemput masuk. Sebelum pulang ucapkan terima kasih dengan layanan yang diberikan.

Lelaki Boroi Lepas Kahwin

Kenapa lelaki boroi lepas kahwin? Suami Boroi Tanda Bahagia?
Isu ini didebatkan berkurun-kurun lamanya. Lelaki akan bertambah berat badan selepas berumah tangga dan si isteri pula sukar mencari bentuk badan yang lama. Bagaimanapun, situasi ini langsung tidak dilihat sebagai satu masalah, sebaliknya ia hanya dianggap satu perkara normal.

“Bahagialah selepas kahwin, itu yang perut sudah ke depan,” itulah alasan klise bagi mereka yang menegur.

Perubahan ini sememangnya mencacatkan penampilan. Sebetulnya, masalah pertambahan berat badan satu-satunya ancaman kesihatan yang sukar dielakkan, namun bahayanya ia langsung tidak dilihat serius oleh kebanyakan pihak.

Lelaki bujang lebih cenderung hidup aktif, kurang makan dan kurang waktu rehat. Ke sana dan ke mari bersama teman-teman dan setiap masa dipenuhi aktiviti. Malah waktu dan pola pemakanan mereka juga tidak menentu. Lebih-lebih lagi lelaki yang hidup berjauhan daripada keluarga.

Oleh kerana itu, hampir semua lelaki bujang mempunyai bentuk badan menarik dengan perut kempis dan berat badan mereka sekitar 55 hingga 75 kilogram. Namun selepas seseorang lelaki itu mendirikan rumah tangga, dari setahun ke setahun berat badan mereka akan bertambah. Rata-rata mereka sudah tidak lagi hidup aktif.

Lebih banyak masa dihabiskan bersama anak dan isteri di rumah. Jadual makan yang teratur, tambahan pula apabila mendapat isteri pandai dan gemar memasak. Lelaki akan berasa selesa selepas berkahwin kerana ada isteri yang akan menyediakan makanan dan mudah bagi mereka untuk makan.

Berbanding wanita, yang bujang masih tetap memasak. Jadi mereka akan terus memasak selepas berumah tangga, malah menurut kajian wanita akan lebih minat memasak selepas bersuami.

Mereka mula gemar mengumpul resipi dan menonton rancangan masakan. Mereka tertarik dengan aksesori dapur seperti set kuali, periuk dan peralatan memasak walaupun pada zaman bujang mereka tidak begitu.

Apabila dapat menyediakan satu hidangan untuk suami dan melihat suami memakannya, isteri akan berasa cukup puas. Itulah hakikat dan realitinya jika ditanya kepada wanita bergelar isteri.

Selepas berkahwin, kebanyakan lelaki tidak punya banyak aktiviti yang dapat mengeluarkan peluh. Jadi lemak daripada pemakanan mereka akan mula berkumpul di perut. Lama-kelamaan perut mereka akan mula membuncit atau dalam istilah lain boroi.


Perut ke depan selepas dua tahun

Terdapat dua jenis lelaki boroi, pertama lelaki dengan berat badan bertambah, gemuk dan berperut buncit manakala jenis kedua pula adalah lelaki itu akan bertambah berat badannya tapi masih lagi kurus, cuma bahagian perut saja membuncit.

Walaupun pakar sains tidak dapat menjawab yang lelaki boroi tanda mereka bahagia hidup berumah tangga, tetapi melalui kajian ia terjawab dengan mudah.

Hampir 92% lelaki berkahwin akan boroi selepas dua tahun dan ke atas tempoh perkahwinan. Malah statistik perceraian juga melaporkan hampir 89% kes perceraian berlaku kepada suami yang ‘slim’ dan masih tampan. Berbanding kadar perceraian yang membabitkan suami boroi hanya sekadar 19% kes perceraian.

Mungkin anda terperanjat sekarang, namun itulah hakikatnya. Jadi beruntunglah kepada mereka yang mempunyai suami boroi. Malah kajian yang sama ada menyebut yang lelaki boroi lebih penyayang dan berfikiran jauh serta lebih mementingkan rumah tangga.

Persepsi lelaki dan wanita cukup berbeza. 97% suami mula jemu atau mengelak untuk mengadakan aktiviti seks bersama isteri mereka apabila wanita itu mula gemuk, semakin tidak terurus, kurang perhatian kepada suami, melebihkan anak-anak dan apabila si isteri tidak lagi menitikberatkan penampilan.

97% kes perceraian datangnya daripada masalah isteri sebegini.

Jadi awas dengan penampilan anda. Namun sebaliknya pula bagi isteri. Isteri tidak memandang ke arah rupa paras suaminya selepas berkahwin. Cukup sekadar merapi rambut dengan cantik dan berpakaian kemas, isteri akan terus setia menyayangi suaminya meskipun si suami semakin bulat.

Selalunya suami akan terus mengimpikan isteri cantik dan menarik sepanjang usia perkahwinannya tetapi isteri hanya sekadar mengimpikan suami yang bertanggungjawab dan penyayang. Rupa paras suami seperti boroi, botak dan bau badan bukan lagi ukuran buat mereka sepanjang tempoh perkahwinan.

Walaupun dengarnya seperti tidak adil atau berat sebelah, namun itulah budaya yang sudahpun diterima sejak dulu lagi. Percaya atau tidak, ada juga sebuah blog yang menyenaraikan satu laporan kajian yang menyebut hampir 77% wanita berkahwin memakai susuk pada zaman dulu untuk memastikan suami mereka akan terus setia.

Lihat saja potongan pinggang mereka yang digelar pinggang kerengga, buah dada yang terletak cantik dipadankan dengan kebaya ketat, punggung padat dan bersanggul tinggi. Itulah kekuatan seorang perempuan.


Berisiko hidap diabetes dan jantung

Perut kempis dan kemas bukan saja menambah keyakinan diri seorang lelaki, malah yang lebih penting ia mencerminkan kesihatan pemilik tubuh itu. Maka tidak hairanlah ramai dalam kalangan lelaki berusaha untuk mengekalkan perut menarik dengan susuk gaya menggiurkan.

Terdapat kajian membuktikan lelaki yang memiliki tumpuan lemak di kawasan perut atau disebut juga memiliki bentuk tubuh seperti buah epal, lebih berisiko terkena penyakit diabetes, angin ahmar dan jantung.

Sebelum mentafsir kegemukan dan kaitannya dengan beberapa penyakit berbahaya, seharusnya lelaki mengambil inisiatif dengan melakukan ujian BMI (indeks jisim tubuh). Ini bagi menentukan tahap kegemukan badan seseorang.

Ada kaitannya dengan penyakit jantung pula? Perut buncit dikatakan berkaitan dengan penyakit jantung tapi bukanlah secara langsung. Jika dikatakan kegemukan tubuh keseluruhan, ia secara langsung berkaitan dengan penyakit jantung.

Sindrom itu dinamakan sindrom metabolik. Antara penyakit lain berisiko secara tidak langsung ialah darah tinggi, pradiabetes dan kolesterol tinggi. Semua ini ada berkaitan dengan jantung. Contohnya jika seseorang itu menghidap darah tinggi, individu itu boleh terkena serangan jantung dan diabetes.

Faktor utama buncit disebabkan pemakanan yang tidak seimbang dan kurangnya bersenam. Kedua-dua ini menyebabkan lelaki berisiko tinggi menghidap kencing manis dan masalah kolesterol.

Justeru, jangan hanya menggaru kepala atau terdetik bimbang dalam hati. Kepada lelaki boroi atau hampir ke tahap obesiti, ubah gaya hidup anda.


Ubah gaya hidup

Secara umumnya, seorang lelaki itu harus kurangkan makanan bergoreng dan berkolesterol tinggi. Kurangkan pemakanan berunsur karbohidrat seperti nasi putih, roti putih, kentang, kuih-muih serta kurangkan pemakanan berkalori tinggi seperti berlemak atau berminyak.

Disyorkan mengambil lebih sayur-sayuran dan buah-buahan seperti epal, betik dan limau namun tidak digalakkan ialah tembikai, mangga serta durian.

Lelaki juga digalakkan memakan lebih protein daging putih seperti ikan dan ayam (bukan bergoreng) serta kurangkan mengambil daging merah. Jangan mengamalkan pengambilan minuman yang bergas kerana ia mengandungi gula yang tinggi.

Gaya hidup pula mesti berubah dengan melakukan senaman 30 minit sehari sekurang-kurangnya tiga kali seminggu. Senaman yang disyorkan adalah berjalan secara cepat. Sekiranya seseorang lelaki itu disahkan menghidap penyakit diabetes atau jantung, mereka masih boleh melakukan senaman dan mengamalkan corak pemakanan lebih sihat, cuma sebagai tambahan, mereka perlu mengambil ubat-ubatan tertentu untuk mengawal penyakit mereka.

Apabila seorang lelaki semakin meningkat usia, hormon testeron semakin berkurangan. Oleh itu mereka lebih cenderung untuk gemuk terutama di bahagian pinggang.

Kesimpulannya, orang buncit sebenarnya meninggikan risiko mendapat penyakit diabetes jika ia tidak dikawal melalui pemakanan dan senaman.