Home » , » Filem Ombak Rindu Diabadikan Setem Edisi Terhad

Filem Ombak Rindu Diabadikan Setem Edisi Terhad


FILEM Ombak Rindu yang ditayangkan di seluruh negara Disember lepas menjadi filem tempatan pertama diabadikan dalam bentuk setem edisi terhad.

Koleksi Setemku edisi terhad, terdiri daripada album setem dan set folder itu berbentuk album setem 24 muka surat berharga RM199 mengandungi enam helai setem peribadi berjumlah 48 keping, 11 keping poskad babak-babak filem tersebut, bersama DVD filem berkenaan.

Set folder pula berharga RM59.90 mempunyai gambar babak filem tersebut, kata Ketua Pegawai Eksekutif Pos Malaysia, Datuk Khalid Abdol Rahman kepada pemberita selepas melancarkan koleksi edisi terhad Setemku itu di sini hari ini.

Beliau berkata pakej setem itu yang dihasilkan dengan kerjasama Pos Malaysia, Tarantella Pictures dan Astro Shaw Sdn, merupakan usaha pertama melibatkan filem tempatan.

Katanya, filem percintaan yang diadaptasi daripada novel tulisan Fauziah Ashaari itu berjaya mencatat kutipan lebih RM10 juta, yang memberi inspirasi kepada Pos Malaysia menghasilkan keluaran tahunan setem istimewa ini.

Khalid berkata koleksi setem itu mula dijual melalui portal talian PostMe www.postme.com.my dan di 14 cawangan Pos Malaysia terpilih hari ini.

“Diskaun 10 peratus diberi kepada pelanggan yang membeli koleksi edisi terhad hari ini,” katanya dan menambah bahawa hanya 1,000 album setem serta set folder koleksi sahaja yang dihasilkan.

Khalid berkata, produk Setemku yang mula diperkenalkan pada 2007 itu telah menjadi produk unik yang kreatif kerana telah menerima banyakan tempahan pelanggan dan badan korporat untuk mencetak imej pilihan mereka sendiri.

Hadir di majlis itu pelakon utama filem, Maya Karin dan Bront Palare bersama 80 peminat bertuah filem Ombak Rindu. – Bernama

sumber: sinarharian.com.my

1 ulasan:

syteeshahytee berkata...

lama tak mengumpul setem..terima kasih kerana mengingatkan kembali hobi yg dah lama diabaikan.. :))

Catat Ulasan