Home » » Johan Botok Tidak Lupa Keluarga – Tidak Mahu Dibayangi Watak Botak Juvana

Johan Botok Tidak Lupa Keluarga – Tidak Mahu Dibayangi Watak Botak Juvana


Namanya cukup sinonim di kalangan peminat seni tempatan biarpun masih setahun jagung melibatkan diri dalam industri seni. Mempunyai pakej lengkap sebagai pelakon membuatkan anak jati Kuala Lumpur ini terus menjadi perhatian pengarah dan penerbit sehingga wajahnya tidak putus menghiasi kaca televisyen sejak kebelakangan ini.
Melonjak naik setelah memegang watak sebagai Botak menerusi drama bersiri Juvana, Johan Ariff Asari atau Johan Asari dilihat berjaya meninggalkan kesan mendalam terhadap penonton sementelah lagi berjaya membawakan wataknya yang antagonis dengan baik.

Malah cubaannya menerusi drama bersiri Cinta Elysa sebagai teraju utama juga tidak menghampakan walaupun ada yang mengatakan dia tidak mampu menjiwai watak Aril dengan baik.

Lumrah sebagai bintang, Johan tidak dapat lari dari kontroversi dan pernah dikaitkan dengan pelakon Izreen Azmida dan heroinnya menerusi Cinta Elysa, Fasha Sandha. Namun semua itu tidak membuatkannya hanyut untuk terus mencipta nama.
Menjadikan pelakon Eman Manan, Datuk Rahim Razali, Farid Kamil dan Shahiezy Sam sebagai idola, anak muda yang baru berusia 26 tahun ini mengakui tidak pernah mengejar populariti.
Menurutnya, peluang yang diberikan pengarah Faizal Ishak, menerusi Juvana, tidak akan membuatkannya lupa diri, jauh sekali mendabik dada.
“Pesannya tidak pernah saya lupakan. Kalau mahu berjaya dalam bidang ini perlu serius terhadap apa sahaja watak yang diterima. Kalau boleh jangan memilih watak yang diberikan, maksudnya tidak semestinya hanya berlakon bagi watak utama sahaja sebaliknya menerima watak sampingan juga dan ini dilihat berhasil ketika saya melakonkan watak Botak dan Aril ketika melangkah ke bidang lakonan.
“Walaupun ramai berkata saya sudah dikenali dan semakin popular, namun semua itu tidak membuatkan saya lupa diri. Masih banyak yang saya perlu pelajari dalam bidang ini. Bahkan, saya perlu memastikan lakonan saya benar-benar berhasil di mata penonton.
“Buat masa sekarang, saya pasti mutu lakonan saya masih banyak yang perlu diperbaiki lebih-lebih pengalaman saya masih kurang jika dibandingkan dengan pelakon yang telah mencipta nama dalam bidang ini,” katanya.
Paling rapat dengan emak
Bercerita mengenai kehidupan peribadinya pula, siapa sangka, Johan rupanya ‘anak emak’. Menurut Johan, dia dan ibunya memang rapat jika dibandingkan dengan ahli keluarganya yang lain. Malah sikap manjanya turut diakui emaknya sendiri.
Johan berkata, jika mempunyai waktu terluang, dia lebih suka menghabiskan masa di rumah bersama emaknya, Datin Hajah Firdaus. Jika berkesempatan, dia juga sering menemani ibunya bertandang ke rumah saudara-mara mereka.
“Tidak hairanlah jika ramai mengatakan saya ini anak emak. Saya memang suka meluangkan masa dengannya. Lagi pun jika sibuk penggambaran, saya akan kekurangan masa bersama keluarga. Jadi masa yang ada perlu digunakan sebaik mungkin bersama mereka,” katanya.
Ketika ditanya bilakah dia akan menamatkan zaman bujangnya, Johan hanya ketawa besar.
“Saya meletakkan target antara 28 hingga 32 tahun untuk berkahwin. Saya tidak memilih jodoh sama ada di kalangan orang biasa mahupun artis, tetapi biarlah dia seorang yang taat kepada suami, hormat orang tua, pandai memasak dan bertudung,” katanya.
Menurut Johan, orang tuanya juga tidak pernah mendesaknya berkahwin. Malah tidak pula meletakkan sebarang syarat terhadap calon isterinya.
Tidak mahu dibayangi Botak
Walaupun dikenali dengan gelaran Botak Juvana, anak muda ini sebenarnya tidak mahu terus dibayangi watak antagonis itu. Ujarnya, biarpun ramai suka melihatnya dalam lakonan sebegitu, namun dia tetap cuba mahu memvariasikan lakonannya dengan pelbagai watak.
“Kita sedia maklum lakonan yang pelbagai mampu membuktikan kebolehan pelakon itu. Saya mahu dikenali sebagai pelakon yang versatil seperti idola saya dalam bidang ini. Sekurang-kurangnya, ia membuka lebih tawaran kepada saya lebih-lebih lagi jika saya berjaya membuktikan kemampuan sebagai pelakon di mata pengarah dan penerbit.
“Pun begitu, saya tidak pernah memilih, sebaliknya menerima tawaran yang diberikan. Cuma saya mahu berlakon pelbagai watak yang berbeza. Itu sahaja,” katanya.
Ingin melakonkan watak Islamik, Johan berkata, menerusi watak sedemikian ia dapat menguji tahap lakonannya.
“Saya rasa dalam industri ini agak sukar untuk mencari watak sebegini, jika ada pun ia tidak terlalu berat dan mencabar,” katanya yang kini muncul dengan drama bersiri Pelangi Kasih di samping Nabila Huda dan Beto Kusyairi, menerusi TV3.
Ingin jadi kaunselor
Walaupun telah bergelar pelakon, tetapi Johan tidak pernah melupakan cita-citanya untuk menjadi seorang kaunselor. Bahkan pemegang Diploma Kaunseling Kolej Universiti Islam Melaka (Kuim) ini berkata, pendidikan yang ada dalam dirinya sedikit sebanyak membantu dia lebih bijak berhadapan dengan khalayak ramai.
“Saya akui terpaksa melupakan bidang pendidikan buat seketika kerana perlu memberikan perhatian dan tumpuan terhadap bidang lakonan. Pun begitu, impian untuk menjadi kaunselor sentiasa tertanam di dalam hati. Insya-Allah, jika tiada aral melintang pasti ia akan dicapai,” kata pelakon yang pernah mendapat pendidikan tahfiz selama dua tahun di Batam dan Jambi, Indonesia ini.
Dalam pada itu, Johan juga turut bercita-cita menjadi penerbit selain mengukuhkan kedudukannya dalam bidang ini.
“Kini, saya sedang menguruskan sebuah produksi iaitu Kaleidoskop yang diuruskan bersama kakak. Untuk menjadi penerbit mungkin lebih mudah berbanding pengarah kerana banyak ilmu yang perlu saya gali jika mahu menjadi pengarah yang berkaliber,” katanya lagi.

0 ulasan:

Catat Ulasan